#Post Title #Post Title #Post Title
Monday, March 19, 2012

Muzakarah, belia dan hingusan

 


Menghadiri Muzakarah Bahasa dan Persuratan 16 Mac 2012, banyak mencetuskan pelbagai perasaan juga mendapat imput baru buat diri yang masih bergelar belia. Terasa bukan sesiapa untuk duduk bermuzakarah di kalangan bijak pandai dan berpengalaman dan umur yang jauh berbeza.  Suasana yang asing. Saya memanglah hadir memakai tag NGO. Hakikatnya saya hanyalah seorang saya. Bukan sesiapa.

Saya agak terkilan, kerana tiba lewat ke muzakarah itu, gara-gara sesat di Kuala Lumpur ( Oh, saya tak pernah tak sesat lalu bulatan kewajipan- wajib sesat!) Sampai di situ, kami diminta duduk di barisan yang telah direserved. oh! saya masa itu, belum menukarkan mood makmal ke mood serius sebegitu. lebih-lebih lagi tadi kami hampir terlibat dalam kemalangan-luar-logik-akal. Oh, debar tak habis datang yang baru. Dan saya pula,tiada pilihan lain duduk di barisan hadapan sekali! Meja beralas kain putih. Lebih menekan perasaan, ketika duduk, peserta sebelah saya sedang mencadangkan ideanya! Aduh, rasa kecil sungguh, dalam hati, kenapa lah, aku yang kena duduk sini? Apatah lagi bila mengetahui yang sedang bercakap itu Professor dari UM yang sangat aktif memartabatkan bahasa Melayu. Oh, semut yang silap sarang, sarang kumbang diharung! Pasti ramai yang terfikir, meluat. 'siapalah budak setahun jagung yang perasan bagus sangat ni? datang lambat, berani-berani pula duduk hadapan? 

Lama, saya duduk, dan hanya menunduk. Malu, tambah segan, sangka saya, hadirnya saya, sekadar memenuhi jemputan, hanyalah seorang pendengar yang memang kebiasaannya duduk dibelakang. Ini dihadapan. Jelas nyata dan terang wajah Dr Awang Sariyan!

5 minit pertama, satu apa pun tak faham apa yang dibincangkan. Tapi, saya buat-buat menulis. Tulis sajalah apa yang prof sebelah ini cakap. macam dalam kuliah..

 Belum panas duduk di kerusi perbincangan, minda saya sudah diterjah dengan isu penguatkuasaan undang-undang terhadap pesalah yang menyalahgunakan bahasa dalam pertuturan formal di media saluran Nasional (sebenarnya ambil masa untuk menghadamkan apa yang sedang dibincangkan). Ia ternyata ditujukan kepada menteri-menteri dalam pengucapan mereka.hal ini dibangkitkan oleh Profesor dari Um. ia ditanggapi oleh Pengarah DBP dengan menyatakan mungkin hukuman yang dilakukan ke atas mereka bukanlah dalam bentuk hukuman fizikal, tetapi celaan dan pendidikan dari DBP. sistem bintang juga perlu dipandang  oleh institusi, mana-mana institusi yang menyahut seruan DBP, akan dilabelkan dengan aras bintang. ( bukan bintang tiga! gurau Dr Awang sariyan)

Isu pengantarabangsaan Bahasa Melayu  juga diketengahkan. penekanan dan tindakan mewujudkan Institusi Khas bagi memartabatkan Bahasa Melayu perlu ditubuhkan. seperti negara-negara luar yang lebih menghargai bahasa bangsa mereka seperti India, China. cadangan supaya bilionaire menyumbangkan dalam merealisasikan impian ini.


Sangat tertarik dengan masukan daripada Encik Goh Hin San yang sangat menyokong penguasaan Bahasa Melayu dikalangan orang cina. beliau menyatakan Bahasa Melayu bukanlah sekadar untuk orang Melayu, tetapi melihat bahasa ini sebagai bahasa perpaduan, juga bahasa ilmu. Ia merupakan hak milik semua rakyat malaysia. Sementara Dr Awang Sariyan menambah, Bahasa melayu adalah hak milik mereka yang mempunyai mykad atau mykid. 

Cadangan dari Datin Paduka Suhaimi Baba lebih realistik yang mana bahasa melayu tinggi  perlu dipopularkan melalui medium filem dari penulisan skrip yang benar2 berkualiti dan meminta kerjasama DBP dari segi penterjemahan dan interpretasi. 

Saya agak tertarik dengan wakil dari Majlis kebudayaan Daerah Petaling. Beliau menyuarakan Bahasa Melayu dipopularkan. Kegiatan bahasa tidak bersifat eksklusif. Saya menyedari apa yang dikatakan beliau benar. Mungkin DBP perlu keluar dari kepompong mereka dan keluar, melihat situasi sebenar masyarakat. Dengan erti kata lain, isu bahasa dan persuratan ini hanya ‘berlegar’ di DBP juga kepimpinannya, dan terasa usaha sebenar telah dilakukan. Namun usaha DBP tidak pun dirasai oleh masyarakat. Agak tidak adil meletakkan tugas nasional ini seratus peratus terhadap DBP yang banyak menganggung masalah lain. Tapi inilah hakikatnya.

Saya ingin menyuarakan pandangan saya.. Saya hanyalah pelajar yang sibuk dengan fakta-fakta sains, dan hanya bergelumang dengan kajian saintis yang gilakan DNA (yang tujuan sebenar menkaji adalah kerana takut mati), pengubahsuaian DNA, terapi penyakit, nama dadah dan segala macam fakta. Saya sebagai pelajar luar skop sastera, budaya dan bahasa tidak langsung didedahkan dengan masalah bahasa. Malah mungkin tidak menyedari bahasa saya sedang berdepan dengan ancaman. Tapi, hanya bila saya agak cenderung dengan penulisan, saya baru tersedak bila membaca artikel di majalah yang sememangnya pelajar sains tak akan menatapnya. Dewan Bahasa? Dewan Masyarakat? Dewan Sastera.. Tunas Cipta..

‘Eh, what are these? What for you read it? Is it related to your thesis?’ Kawan saya bertanya begitu. Hairan sungguh reaksinya itu.

Jadi, melihat situasi ini, saya menyedari majalah dan apa-apa saja yang diterbitkan oleh DBP sebenarnya adalah satu alternatif sahaja untuk kami, golongan yang meminati seni penulisan, persuratan, dan ya, pelajar yang terlibat secara formal dalam pembelajarannya yang akan membeli semua ini. Yang akan tahu, dengan situasi ini. Saranan saya ialah, DBP membuat satu revolusi supaya bahan bacaannya lebih mesra pembaca, dan sesuai dengan remaja, lalu mesej itu mudah sampai kepada mereka. Oh, saya tak nafikan, peratus pembaca tegar di Malaysia pun sangat sedikit. Dalam peratus yang sedikit itu pula, sedikit sahaja yang membaca bahan ilmiah, dari yang membaca bahan Ilmiah itu juga sangat sedikit membacanya tanpa bias dengan jurusan akademiknya.

DBP juga seakan lega dengan kelompok-kelompok yang mencari bahan dari mereka. Kumpulan penulis, karyawan.kelompok ini yang berminat. Zon selamat mungkin.  Bagaimana untuk menambahkan pembaca dari pelbagai latar belakang dan fahaman? Saya juga melihat gambar kulit buku DBP juga static, stereotype. Tidak dinamik. Konsep tidak menghakimi buku dari kulitnya,tidak sesuai jika DBP ingin menarik pembaca dari pelbagai golongan. Jika saya, ya, jika saya kenal penulisnya, walau bagaimana teruknya gambar hadapannya saya tetap beli
Tapi bagaimana jika saya tidak mengenali penulis itu? mahu tidak mahu, saya menilanya dari kulit buku. Ia adalah realiti. Majoriti  pelajar yang mahu menghabiskan baucer bukunya saya dapati berbuat begitu. Mungkin ini adalah masalah kecil yang boleh dipejamkan mata, tapi ini adalah pandangan umum dari kaca mata remaja, belia, dan pengguna.


Bahasa Melayu juga dilihat sebagai medium dakwah yang utama, bagi memastikan mesej yang betul sampai kepada bukan muslim. kekeliruan terhadap Islam adalah disebabkan faktor bahasa. begitu yang dilontarkan oleh Ridhuan Tee.

"Mengapa terjadi begini, sehingga kita memerlukan dan mengharapkan orang lain (dimaksudkan adalah mualaf cina) bagi menyampaikan Islam" ujar beliau bersungguh. Sehinggakan Dr Awang menyatakan beliau lebih 'melayu' dari orang Melayu. 

Resolusi bagi muzakarah kedua adalah menterjemahkan karya agung juga menjadikan kisah sejarah-sejarah tokoh melayu nusantara lebih mudah diterima umum apabila ia dipermudahkan dalambentuk novel. Panel akan ditubuhkan bagi merealisasikan matlamat ini. DBP juga memberitahu pihak mereka yang akan membuat road tour ke  universiti seluruh malaysia dan membuat dialog bersama TNC supaya langkah memartabatkan bahasa MElayu diambil kira dalam pembelajaran di peringkat tinggi

Apabila tamat muzakarah kami rupanya menjadi perhatian umum.
“Mana tadi yang belia-belia tadi?”

“Kamukah yang dari kumpulan belia tadi? Bagus! Ini yang kita mahu!”

Oh menyesal pula tadi fikirkan, majlis ini tak sesuai untuk saya.. lihatlah, semuanya sudah berpangkat datuk dan pakcik semuanya. Pakcik bukan sebarang pakcik , tapi Profesor, Dr, datin dan datuk juga pasti ada..

“Adik, marilah makan.. jangan malu-malu..”

Ya saya bukan malu, tapi tak selesa. Tapi lihatlah mereka itu, begitu menghargai kami. malu sendiri!
Bersembang di meja makan secara tidak formal ternyata lebih menenangkan. Apa lagi bila diketahui, mereka bekas UKM. Dan fakulti sama pula! Wah! Bersemangat jadinya diri ini.

Cerita luar topik juga keluar, luahan dari orang lama, agak menuntun hati. Remaja dan muda-mudi sekarang sudah luput dari nilai-nilai insan. Tiada hormat pada orang tua.. jati diri luntur. Cerita pekerja muda yang bekerja hanya tujuan makan gaji, sangat berlainan dengan orang lama yang bekerja atas tanggungjawab, atas kesedaran dan semangat bangsa. Ah! Tiba-tiba terasa mahu memutihkan imej belia dengan memohon bekerja di sini. Tak semua belia begitu! Oh, kasihannya kami, dipalit lumpur yang bukan dari bendang kami, malah kami tak sedar pun ada yang menuang nila pada balang susu kami! Semacam ada kezaliman di situ. Dalam diri berazam, akulah belia dan muda yang berwawasan! Wah, bukan main, sekali dah dapat habuan dalam tangan, berpatahlah segala azam. Moga tidak begitu..

Bagaimanapun pendapat saya, muzakarah ini, seakan teraba-raba dalam menuju objektifnya. Mungkin ia perlu lagi dibahagikan kepada skop yang lebih kecil. Atau mungkin terlalu banyak masalah sehingga objektif sebenar gagal difokuskan. Apa pun ia satu pengalaman baru buat saya, si pucuk yang baru mengenal terik mentari.

Serasa saya, banyak lagi isu yang dibangkitkan dalam muzakarah itu. Tak tercatit, tak tertulis di sini. Terkadang teraba-raba sendiri mencari pucuk pangkal perbincangan. Apakah..? Apa pun saya dapat menilai diri. Betapa kami ini, belia ini, sangatlah cetek pengetahuan dan pengalaman. Tak terjangkau dek fikiran apa yang mereka fikirkan terlalu jauh ke hadapan. Terlalu dasar jika mahu dibandingkan dengan saya yang.. oh, jujur katakan, nak lontar pandangan pun rasanya tak tahu apa yang nak diisukan.

 Apa yang boleh kami suarakan, adalah sokongan. Ya, kami perlu lebih faham rasanya.  Tapi pandangan cetek kami dan sekilas kami inilah yang kami lihat. Inilah apa yang kami tangkap dari kaca mata kami. mungkin tak sedahsyat pandangan dan saranan orang lama.. mungkin tak seberapa.. namun inilah realitinya. Er.. tak, rasanya saya adalah belia yang baru belajar, belajar untuk serius, belajar untuk lebih peka.
Hakikatnya, bila duduk dan berbicara dengan rakan sekelas, itulah belia. Kelas, esaimen, tutorial, aktiviti kolej, dan.. hiburan sudah pasti. Lalu dimanakah sifat peduli masyarakat nak diselitkan?

 Inilah zon selamat aku, kau tak kacau aku, aku tak kacau kau. Mudah kan?

 Mudahkan? (Ah, sakit jiwa~ hidup bukan untuk diri sendiri kawan!)

Ingin diingatkan ini adalah pandangan peribadi saya. Untuk peserta lainnya dari delegasi yang sama, pastilah hebat lagi.

Hakikatnya saya tidak berhenti berfikir dalam muzakarah itu. Di manakah saya? Di manakah peranan pemuda? Apa status saya? Apa yang boleh disumbangkan? Hendak mengangkat martabat bahasa? Oh, lihatlah, kamu sendiri, berbahasakah kamu? Lihatlah ayat kamu, cacamerba.
Rasanya lebih baik saya menyudahan sesi menconteng ini. Lebih banyak lebih bosan. Lebih lama lebih meleret.

p/s : mesti ada kutuk: Apa hal nak nasionalis sangat?


[ Read More ]
Monday, February 20, 2012

Konvensyen Fiqh Ummah, dan seorang politik

Semester baru dimulakan dengan pra-kuliah, jika saya boleh katakannya begitu. Pra-kuliah dari dari ilmuan dan ahli akademik. Jujur saya katakan, dua hari sebelum hadir ke KONVENSYEN FIQH UMMAH itu, saya rasa alahai, lemahnya mahu gerak awal dari kampung tercinta. Sudahlah cuti saya dipendekkan menjadi dua minggu lantaran menyelesaikan projek akhir..kena pula pulang awal. Dipujuk hati, saya mengambil semula kata-kata seorang tua, "sementara muda, sementara punya masa, ambillah, tuntutlah ilmu selama ada.."

 Namun bila selepas sehari bersama asatizah itu, terasa sedih untuk mengakhiri perbincangan yang bebas dari kibaran bendera parti, ketaksuban pada individu, dan meletakkan kecintaan pada ilmu di pasak utama. Keikhlasan mereka dalam memberi, meninggalkan kesan kepada kami pendengar. Benar, melangkah keluar PWTC malam Isnin itu, saya rasa berat sungguh hati ini. Dua hari bersama mereka rasa seolah ada keterikatan hati dengan mereka, tak puas mendengar mutiara ilmu dari ilmuan semua. 

sehingga pagi isnin itu saya bagun, dalam minda saya, tersebut Murjiah, Jabbariyah.. dan lain-lain istilah fiqh terngiang-ngiang di telinga saya. Oh! saya rindukan mereka! 

Saya percaya ramai yang tidak puas dengan 9 pembentangan kertas kerja di konvensyen itu. Iya, walaupun banyak juga istilah yang tidak semua difahami oleh kami si pengelek sains sejak kecil. tapi kami berusaha untuk memahami.

 sebagai pemuda yang selalu disinonimkan dengan bersemangat, ramai yang bangun tidak puas dengan perkataan Dr Maszlee Malik yang membentangkan Wasatiyyah dalam politik. Bagi saya ideanya   dengan politik baru dan gelombang ketiga itu sangat relevan. Politik dengan berasaskan adil, ukhuwah dan akhlak. Kelihatanny sangat idealistik, dan beliau berucap dengan penuh kekecewaan pada politik sekarang. dengan melabelkan kami sebagai majoriti golongan senyap yang bosan dengan politik fitnah dan mengkafiri sesama sendiri, mengajak kami berfikir. politik Malaysia bukan hanya ada dua, bulan dan biru. fahaman dan pandangan masyarakat bukan hanya ada dua itu. bagaimanapun politik yang dicadangkan oleh Dr MAszlee ini pandangan saya sukar direalisasikan, memandangkan ilmu dan kesedaran untuk menghilangkan ketaksuban kepartian di kalangan rakyat Malaysia  masih belum dapat dicapai. 

Saya percaya ramai di luar sana bosan dengan kerenah politik sekarang bertindak dengan memperdiar segalanya yang berkaitan politik. Sehingga saya terjumpa ada seorang penutut dalam bidang sejarah merungut bila diminta membuat dan mengkaji mengenai politik Malaysia.

 "Saya ambil sejarah, mengapa perlu selak mengenai politik? politik-politik ni.. tak suka lah.."

Saya menyimpan senyum. Begitu sekali mereka membenci politik saya rasa jika politik itu adalah satu susuk tubuh, nyata dirinya yang naif dan suci itu telah dipakaikan dengan warna-warna kotor sehingga cerminan sebenar politik itu menjadi celaru. 

Bila ditanya "pada siapa undi kita?"

Dr maszlee menjawab, politik malaysia belum layak dilabel politik demokrasi selagi keadilan dalam media tidak dicapai, dan kedua pemimpin tidak menunjukkan kejantanan masing-masing, masuk ke padang perdebatan. Saya masih mengkaji dengan perdebatan inikah, rakyat boleh menilai seadilnya keupayaan pemimpin mereka. 

oh! saya tak berhasrat untuk menyambung master dalam politik, setelah semalam sebelum pulang saya sengaja berkata pada umi.
"saya hendak menyambung master dalam sastera"
"tulis dulu sebuah novel" kata-kata umi buat saya terkedu (hamek kau!) 
inikan pula mahu belajar politik. mahu umi kata "belajar dulu mendidik emosi"



baik. semester akhir buat saya. semoga lebih baik dan dewasa. 
[ Read More ]
Friday, January 13, 2012

Dingin

Segala puji bagi Allah.




Jadi, tadi sepatutnya adalah detik-detik akhir saya mempunyai kaitan dengan Penulisan Kreatif.
Dengan menyaksikan peristiwa sadis, masuk ke dewan peperiksaan dengan baju lembap, akibat kehujanan. Hanya semeter lebih sikit saja saya mahu sampai ke DECTAR namun hujan lebat tak kasihan pada saya. Sebenarnya ia adalah balasan lambat hadir ke dewan.

Baru beberapa minit di dalam DECTAR itu, buat saya seperti di dalam peti ais. Blazer yang di bawa hilang fungsinya bila tadi sudah basah di timpa hujan. Bila sejam berlalu, tulisan saya dah semakin sukar dibaca, pena ditangan sudah tak tahu harus digenggam bagaimana. Sejuknya!! Mujur minda saya juga tidak beku sama. Alhamdulillah, idea agak mencurah..Berkat doa umi mungkin.

Walaupun malu nak beritahu, bila saya semak semula jawapan yang saya catat tadi, rupanya ada sesetengahnya saya dah menukar fakta jadi auta, dan mengubah sesetengah karya orang! Teringat kata-kata cikgu Fizik saya dahulu. Ketika menanda kertas jawapan kami, di situlah cikgu dapat ilmu-ilmu dan formula yang baru dicipta oleh kami yang belum pernah dijumpa sepanjang sejarah dunia!

Saya tak mampu menunggu lagi, walau ada baki setengah jam lagi. Kulit saya tak mampu menangkis kedinginan ini ditambah dengan baju yang lembap. Gigi sudah menggeretap.( Apa yang saya fikir tika itu, adalah secawan kopi creamer panas!) Lalu saya terpaksa keluar. rasanya jemari ini tak mampu menulis lagi dan tiada apa yang hendak dituliskan pun.

Bila sebelum keluar, saya menemui Dr Mawar. ada sedikit konversasi yang terjadi antara kami. Ah! saya tak tahu perasaan saya tika itu. Tiba-tiba sukar berkata-kata. Ya, sebab utamanya memang saya sejuk sampai tak boleh membuka mulut. Ada sesuatu yang menekan peparu saya dari mengepam udara dengan baik.Ya, saya sebenarnya kalau sejuk, saya akan rasa mual nak termuntah. Begitulah saya rasa tika itu.

 Alahai..rasa malu pula jadi begitu dihadapan pensyarah saya itu. Sebab lainnya saya tak boleh lancar berkata-kata..? baiklah, kerana saya sebak sedikit. Tiba-tiba emosional.. Tak stabil. tapi mungkin beberapa peratus sahaja. selebihnya saya memang sangat sejuk dan sukar bernafas. Saya kan punya asma yang suka kembali tanpa beri isyarat.

Ah! Alasan.kau nak nangis cakap sahaja.. Asyik jaga gengsi...


Benarlah, sepatutnya ini perkaitan saya terakhir dengan penulisan, tapi, saya ada niat  untuk meneruskan. Cuma kekadang terasa rendah mencecah tanah saja bila dibandingkan dengan mereka yang sememangnya dari dahulu bersama sastera..Oh baik hentikan cerita tak seronok ini..

Yang selebihnya saya simpan saja ya ceritanya.. ahah!
[ Read More ]
Wednesday, December 28, 2011

Sepotong nasihat

Segala puji bagi Allah


Semasa menghasilkan cerpen ini, saya mengelek beberapa buku kumpulan puisi dari beberapa tokoh sastera seluruh dunia. (seluruh lah sangat). Itu pun setelah disarankan oleh Dr Mawar satu ketika lalu. Saya cuba mencari jalan pintas untuk menghasilkan cerpen yang 'berbahasa' dan bukan hanya bercerita.  Hakikatnya tiada jalan pintas untuk berjaya. Latihan penting. Jujur saya katakan, walaupun buku-buku yang saya baca selalu 'mengumpat' RENDRA ini, saya selalu terhalang dari menikmati puisi-puisi beliau(alasan!)

Saya cuba menghadami puisi Rendra. Puisi pertama yang saya nikmati ialah Surat Kepada Bunda. Oh! sebenarnya puisi itu diselitkan dalam filem Indonesia yang saya tonton, 3 Hati 2 Dunia 1 Cinta. (saya suka rambut gondrong watak utama itu, sekarang, siapa lagi yang berani berfesyen begitu?)

Puisi lainnya ialah, Khalil Gibran. terjemahannyalah yang pasti. Khalil GIbran lebih kepada berfalsafah. Saya rasa seperti hendak menjadikan buku itu hak milik, nak cari buku itu? sepagi merayap di toko buku pun belum tentu dapat. Terbitan Indonesia,, harus cari di mana ya?

Saya ada memetik dan meminjam kata-katanya dan dimuatkan dalam cerpen saya. bolehkah?


“Manusia menjadi lemah kerana tangan mereka sendiri kerana manusia mengganti hukum-hukum Tuhan menjadi hukum manusia, dan manusia tetap menolak untuk sadar terhadap tragedi besar yang mereka ciptakan untuk mereka berserta anak cucunya. dan penderitaan menjadi sebuah takdir yang disengaja. "



Saya andaikan datuk kepada watak utama saya adalah Khalil Gibran. Ceh!


 Inovasi dari realiti bolehkah dipanggil imaginasi? atau ia dikira plagiat? Saya suka kata-katanya, dan saya mahu ramai yang menyedari hal yang dibangkitkan oleh beliau. Salahkah saya cetak sedikit kata-katanya dalam cerpen saya?cuma saya tak kreditkan lah kata-kata itu pada beliau.  Sebab ada sedikit yang saya tambah dan ubah pada kata-kata sebenar beliau itu, bagaimnapun, maksud masih sama.. apa pun, ia dah selamat di tangan Dr Mawar. 
[ Read More ]
Wednesday, December 21, 2011

Lakaran kehidupan

Segala Puji Bagi Allah.

Memetik kata-kata seorang penulis blog,, hidup kita ini ibarat sehelai kertas putih. Apa saja yang terlakar dan tertulis di atasnya adalah  catatan dari Tuhan. 

Ya, tidak kiralah kita merasakan tulisan itu titisan yang comot dan tak terketahuan
atau hanya noktah hitam.Atau lakaran yang tak dimengertikan.
Tetaplah bacanya dengan cinta
Hakikatnya itulah tulisan yang terbaik dari Tuhan buat kita. Ditulis dengan cinta-Nya terhadap kita 
Kasih-Nya buat kita.
Lalu berhati-hatilah membaca tulisan Tuhan buat kita.
Jangan tersalah tafsir lalu tulisan cinta itu dibaca sebagai derita.

Tidak semua tulisan itu dapat kita fahami namun yakinlah setiap titis catatan buat kita itu, punya cinta yang tak terhitungkan buat kita.

Kerana Tuhan itu bekerja dalam rahsia.

Saya tak ingat saya baca dari mana,tapi di situ tercatat satu pandangan. Menjadi penulis itu seperti menulis 'takdir' buat watak yang diciptakan. Menjadi penulis itu seperti menjadi 'Tuhan' untuk watak dalam 'kehidupan' tulisan kita. Kitalah yang melukis takdir, untung nasib, dan jalan hidup 'mereka'. 

Jadi, inilah lakaran kehidupan 'Brahim'. Inilah titisan saya buat 'Brahim'.
Namun bukanlah saya penulis takdir yang penuh cinta. Kerana pemberi cinta itu hanya Dia. 
Saya hanyalah peminjam cinta yang sedang menunggu tarikh luputnya ia.



Saya pernah bercita-cita menjadi arkitek, dan saya juga pernah ingin menjadi pelukis. Tapi, rupanya jalan saya sekarang adalah menjadi saintis(ammmeeenn). Tapi menulis membenarkan saya menjadi apa pun. Buat masa ini, saya menjadi tukang masak dahulu, ya!
[ Read More ]
Saturday, December 17, 2011

Nasi kenduri jam 4 petang

Segala Puji Bagi Allah


Walaupun saya fikir kesibukan esaimen dan program yang berderet tidak memungkinkan saya mengunjungi hari bahagia sahabat saya, tapi bila Allah dah tuliskan, saya tetap berjaya menjejak ke rumah beliau.

"Majlis sampai pukul berapa?"

"Oh, pukul 4" ujar saya setelah menelek kad undangan. Jam sekarang 3.40p.m. 

Maka, jadilah kami tetamu paling akhir dapat bersalam dengan pengantin. Seronoknya jadi yang lambat ialah, dapat bersembang dengan pengantin lebih lama..

Saya suka makan nasi kenduri, ianya sedap luar biasa. Ya, satu kerana percuma, satu lagi, kerana PERASA kebahagiaan itu masuk di celah-celah nasi kenduri itu. 


Ini hidangan bagi tetamu terakhir seperti saya dan rakan-rakan.  (Selepas saja kami ambil makanan, semua bekas itu diangkat!)


Sirap kenduri pukul 4 petang ini masih lagi segar dan warnanya masih menawan. Jangan sesekali prejudis dengan sirap kenduri ya!



Walaupun simple, tapi saya suka. Usai membilas tangan, bila saya meraup tangan saya ke muka, bau  masak rebung itu masih melekat di jemari saya. Bau ini mengingatkan saya pada umi, abah dan kampung Dan tiba-tiba saya rasa sayang nak basuh tangan ni dengan sabun, nanti hilang bau yang nostalgia  ini! Teruknya!

Sedikit gambar dari tempat kejadian, (saya tak berani upload gambar pengantin tanpa izinnya,)
gambar ini saja bolehkah?



Gubahan coklat yang kreatif, bumbung rumah itu dibuat dari kuaci! 


dan..


Kiri atau kanan?
Ya, tak syak lagi, kami sesat. Itulah antara sebab sampai lewat..

Sebelum pulang kami diberi ini..


Apa pun, jangan diamalkan datang lewat majlis, kecuali kami yang berlagak seperti orang penting dan rapat dengan pengantin (senyum)

Oh, saya punya soalan, bila kamu datang sebagai tetamu,ke kenduri kahwin,  adakah kamu akan berpeluang duduk di pelamin?

~saya pasti jawapannya TAK

Adakah kamu dapat selalu berpeluang ada dalam celah-celah gambar pengantin?
~Tidak bukan?

Jadi yang kamu dapat ialah?
Makan.
Kan?

Jadi bila tiba hari bahagia kamu, mengapa tidak kita membahagiakan tetamu kita dengan memberi hidangan yang sedap dan berkat sehingga kebahagiaan kamu dapat dikongsi bersama tetamu?
Pelamin, Baju cantik, sewa jurugambar yang mahal.. semua itu untuk hanya untuk kepuasan MATA semata.Tak masuk dan bertukar menjadi darah daging pun. Juga tak dapat dirasai oleh semua tetamu pun.

YANG SEKALI ITULAH YANG DICARI KEBERKATANNYA

Semoga kita sentiasa dalam redhaNya.
[ Read More ]
Wednesday, November 30, 2011

Travelog Turki



Bagi mendapat gambaran yang lebih jelas bagi tempat yang dinamakan Sanliurfa, saya membeli buku ini. Bagaimanapun tiada satu perkataan Sanliurfa yang tercatat di dalam buku ini.

Saya baca juga buku yang besar dan tidak handy ini ketika di dalam tren, bas, dan bukan ketika saya memang berniat untuk membaca. Maaflah encik buku, saya kesuntukan masa.

Saya pernah baca buku travelog yang lain.  Jadi buku ini tidak mencapai objektif saya. Buku ini hanya bercerita mengenai tempat-tempat menarik dan terkenal saja. Saya hairan bila jejak-jejak anbiya tiada diikuti. Walhal Nabi Harun, Musa, Ibrahim lahir di Turki. Tak mengapa. Tips menarik sebagai pengembara banyak saya kutip dari catatan penulis yang juga seorang doktor perubatan. Siapa tahu saya bakal jejakkan kaki di sana?  Amiin..
[ Read More ]
 
 

Recent Comments

Dengar

Maher Zain ft. Irfan Makki_I Believe

Powered by mp3skull.com

Followers

siapa datang?

About Me