#Post Title #Post Title #Post Title
Showing posts with label makanan. Show all posts
Showing posts with label makanan. Show all posts
Saturday, December 17, 2011

Nasi kenduri jam 4 petang

Segala Puji Bagi Allah


Walaupun saya fikir kesibukan esaimen dan program yang berderet tidak memungkinkan saya mengunjungi hari bahagia sahabat saya, tapi bila Allah dah tuliskan, saya tetap berjaya menjejak ke rumah beliau.

"Majlis sampai pukul berapa?"

"Oh, pukul 4" ujar saya setelah menelek kad undangan. Jam sekarang 3.40p.m. 

Maka, jadilah kami tetamu paling akhir dapat bersalam dengan pengantin. Seronoknya jadi yang lambat ialah, dapat bersembang dengan pengantin lebih lama..

Saya suka makan nasi kenduri, ianya sedap luar biasa. Ya, satu kerana percuma, satu lagi, kerana PERASA kebahagiaan itu masuk di celah-celah nasi kenduri itu. 


Ini hidangan bagi tetamu terakhir seperti saya dan rakan-rakan.  (Selepas saja kami ambil makanan, semua bekas itu diangkat!)


Sirap kenduri pukul 4 petang ini masih lagi segar dan warnanya masih menawan. Jangan sesekali prejudis dengan sirap kenduri ya!



Walaupun simple, tapi saya suka. Usai membilas tangan, bila saya meraup tangan saya ke muka, bau  masak rebung itu masih melekat di jemari saya. Bau ini mengingatkan saya pada umi, abah dan kampung Dan tiba-tiba saya rasa sayang nak basuh tangan ni dengan sabun, nanti hilang bau yang nostalgia  ini! Teruknya!

Sedikit gambar dari tempat kejadian, (saya tak berani upload gambar pengantin tanpa izinnya,)
gambar ini saja bolehkah?



Gubahan coklat yang kreatif, bumbung rumah itu dibuat dari kuaci! 


dan..


Kiri atau kanan?
Ya, tak syak lagi, kami sesat. Itulah antara sebab sampai lewat..

Sebelum pulang kami diberi ini..


Apa pun, jangan diamalkan datang lewat majlis, kecuali kami yang berlagak seperti orang penting dan rapat dengan pengantin (senyum)

Oh, saya punya soalan, bila kamu datang sebagai tetamu,ke kenduri kahwin,  adakah kamu akan berpeluang duduk di pelamin?

~saya pasti jawapannya TAK

Adakah kamu dapat selalu berpeluang ada dalam celah-celah gambar pengantin?
~Tidak bukan?

Jadi yang kamu dapat ialah?
Makan.
Kan?

Jadi bila tiba hari bahagia kamu, mengapa tidak kita membahagiakan tetamu kita dengan memberi hidangan yang sedap dan berkat sehingga kebahagiaan kamu dapat dikongsi bersama tetamu?
Pelamin, Baju cantik, sewa jurugambar yang mahal.. semua itu untuk hanya untuk kepuasan MATA semata.Tak masuk dan bertukar menjadi darah daging pun. Juga tak dapat dirasai oleh semua tetamu pun.

YANG SEKALI ITULAH YANG DICARI KEBERKATANNYA

Semoga kita sentiasa dalam redhaNya.
[ Read More ]
Wednesday, October 12, 2011

Lelah melihatnya




Ini cara penyediaan Cig kofte yang asli. dari masyarakat Turki. caranya lebih santai dan yakin.


Walaupun satu patah kata pun saya tak dapat fahami yang dikatakan.. saya cuba menghadamnya.
Tapi cukup dengan melihatnya, kita dapat tahu, bukan mudah menghasilkan makanan ini. makanan pengorbanan. Makanan yang mengundang berita gembira buat pasangan yang menantikan cahaya mata.Ibrahim dan Siti Sarah. peristiwa yang tersurat dalam surah Hud ayat 69-73


Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan Kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)". Nabi Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu". Maka tidak beberapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.


Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: "Janganlan engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)".




Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang menggembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishaq, dan sesudah Ishaq, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Ya`qub.


Isterinya berkata: "Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua, dan suamiku juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan".


Malaikat-malaikat itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah- limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya".


[ Read More ]
Thursday, October 6, 2011

Selamat datang ke dunia Heliotis

File:Abalone & Asparagus, Stir-Fried with Black Bean Sauce (207804042).jpg
Abalone. Begitu ia dipanggil oleh masyarakat Sepanyol. Paua pula namanya di kalangan masyarakat Maori di New Zealand. Dikatakan makanan termahal di dunia. Malah banyak pula khasiat.

Apa yang menarik ciptaan Allah ini, punya cengkerang yang cantik. Siput laut yang juga dipanggil telinga laut (sea ears ) sebesar tapak tangan manusia ini, boleh juga menghasilkan mutiara yang indah.



Nama sebenar siput yang menjadi hidangan di Taiwan, China, Jepun, Amerika Latin dan New Zealand ini ialah Haliotis.


Boleh dimakan mentah begitu saja...Loya pula membayangkannya...jika mentah-mentah begini, selalunya dimakan bersama wasabi.

Terima Kasih kepada sahabat saya yang mencetuskan idea..
[ Read More ]
Thursday, September 29, 2011

Chee Kufta

Makanan dimasak tanpa api.

Menarik bukan?

Idea datang apabila saya teringat rancangan Ayat Riwayat, di TV Al-Hijrah. Malangnya saya terlupa episod ke berapa yang mentafsirkan ayat mengenai Nabi Ibrahim itu.

Mungkin saya boleh menggunakan kaedah interteks dalam cerpen saya. Okey, mari lihat apakah makanan ini. 

Chee Kufta.


Nama saja pun pelik, penyediaannya lagi pelik. Namun  dari segi luaran ia tidak jauh beza dengan kebab-kebab yang lain. Daging mentah? jangan terlalu awal membuat andaian. Mungkin anda sudah bayangkan daging merah basah, masuk kedalam mulut anda? Bukan begitu..

Saya boleh bayangkan kesedapan masakan ini bila melihat kepada jenis daging yang digunakan ialah daging terbaik, iaitu daging kambing dari peha, yang dibuang lemak, otot dan juga dibuang tulang (masalah dalam penterjemahan, deboned?).

Tiba-tiba terbayang 'lamb with cheese' di Delifrance.  dengan air lemak daging yang ,mengalir, bercampur dengan keju..  Mungkinkah sama? 
Daging yang telah dicincang tadi, dicampurkan dengan bawang, garam,serbuk lada, lada hitam, dan rasanya semua jenis lada. 

Daging perlu digaul-ramas bersama bahan-bahan 'panas' tadi di atas dulang timah, selama 45 minit! Rasanya semua microbiota di kulit tapak tangan terus berpindah ke daging itu, mungkin itu juga salah satu sebab daging itu masak?  Pembuat hidangan ini perlu menguli daging ini dengan ais, untuk mengelakkan tangan menjadi pijar. Yang menarik, untuk mengetahui sama ada daging itu sudah masak atau belum, kita perlu melontarnya ke siling. Jika ia melekat, maksudnya daging sudah selamat untuk dimakan. mungkin dinding dan siling rumah di Urfa,Turki penuh dengan kesan daging melekat?


Daging tersebut boleh dimakan dengan roti seperti kebab atau burger. Pastilah sangat pedas bukan? Lah, bagaimana saya nak menerangkan rasanya jika lidah saya tidak pernah menyentuh Chee Kufta ini? dari bacaan yang saya lakukan, ianya berkrim, rasa manis daging bercampur dengan lada itu, sangat ideal.Anda boleh rasakan jus daging mengalir disebalik deria lidah anda,  Ada satu restoran Turki, namanya Restoran Saba, yang menghidangkan makanan, satu pinggan paling murah RM15. Mahu cuba?

Tak mengapa, terima kasih. Mungkin saya perlu memikirkan alternatif lain daripada menggunakan duit yang boleh menampung makan minum saya selama 3 hari,untuk satu hidangan yang berasal dari isteri  Nabi Ibrahim itu. Mungkin saya perlu mencari rakan dari Turki, berbaik-baik dan mendapat chee kufta percuma.. Oh! kalau ada yang nak belanja saya, saya tidak menolak! 



[ Read More ]
Wednesday, September 21, 2011

Steak

Dalam banyak-banyak makanan yang anda pernah makan, makanan apa yang anda rasa paling sedap?
Yang anda suka untuk nikmatinya walaupun untuk kali yang ke seribu?

Makanan PERCUMA!

Setuju tidak dengan pendapat saya?

Hari ini saya mendapat makanan percuma. Dari senior yang bakal bergraduasi Isnin ini.

Beef steak with cheese. atau dalam bahasa kita,  steak kambing bersama keju. Diapit dengan roti.Senang kata, kebab kambing ..

Roti ini bukan sekadar sedap kerana percuma, tapi ia memang boleh dipuji rasanya. Apa yang seronok, ia dibelanja oleh senior saya yang sudah setengah tahun tak bersua! Entah bila lagi baru dapat bersama lagi, dan dapat belanja saya lagi! (senyum)




Nampak enak bukan?

Mula menggigit roti ini saya dapat rasakan rasa kejunya. Saya suka itu. Juga daging kambing yang agak liat tapi masih boleh dikunyah itu memberi bonus berbanding kebab ayam yang biasa kita jumpa.

Ketika mengunyah, hati saya berbisik.
Rasa ini seperti sangat familiar.

Roti yang gebu seperti jejaring mengait antara satu sama lain.  Rasa keju yang cair dalam mulut saya itu. Juga bawang yang dibakar itu terasa manisnya,dan pedas lada hitam mengigit-gigit manja deria lidah,bersama mayonis begitu. Benar-benar membawa saya ke masa lalu. penat berfikir, memintal memori, kemudiannya baru saya ingat.

Ya. Ini seperti rasa roti yang sama, yang pernah dibuat oleh kami adik beradik. Adunan roti yang kakak uli, kami ubah-tambah menjadi piza. Saya rasa ia lebih sedap berbanding piza yang pernah saya makan. Sebab piza yang ini lebih mayonis, lebih keju, lebih sos dan lebih utama lagi, ia ada rencah tambahan yang tidak dapat didapati di mana-mana kedai pun. Kasih sayang.

Kami makan roti dan piza tersebut seperti makhluk dari Zuhal yang tak pernah menjumpai roti seumur hidupnya. Seperti tiada lagi esok buat kami, seperti roti akan bakal pupus di muka bumi ini pada esok harinya.

Saya rasa roti itu biasa saja, tapi yang jadi luar biasa sedap,ialah kami makannya bersama-sama. Terasa rencah kasih sayang dan terpadam kerinduan kami setiap kali mengunyah roti tersebut.

Ayat saya dan adik-adik yang masih saya ingat ialah.

"wah.. sedapnya, macam roti beli. Macam roti betul"

"memanglah ini roti, ada roti tipukah?" Adik saya membalas. Pecah tawa kami.Betul juga kata-katanya itu.

Habis jiran sebelah pun kami ingin kongsikan rasa bahagia itu.

Kesimpulannya, sekalipun anda makan hanya mee segera, jika anda mendapatkannya secara percuma, ditambah anda makan bersama yang tersayang, pasti makanan tersebut menjadi makanan yang paling sedap pernah anda makan.
[ Read More ]
 
 

Recent Comments

Dengar

Maher Zain ft. Irfan Makki_I Believe

Powered by mp3skull.com

Followers

siapa datang?

About Me